Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena keruntuhan akhlak dan moral di kalangan remaja . Antaranya ialah :
Kurangnya asuhan dan didikan agama oleh keluarga.
Ibu bapa adalah model kepada anak-anak dalam apa jua aspek kehidupan tetapi dalam soal keagamaan ianya seolah-olah diabaikan. Justeru itu, akan lahirlah generasi baru yang bertindak liar dan bersikap materialistik dan ala kebaratan.
Pengaruh suasana dan persekitaran yang mendesak
Kebanyakan remaja yang tinggal di bandar mengamalkan kehidupan individualistik dan materialistik. Oleh itu, dalam mengejar kemewahan mereka sanggup berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan baik buruknya sesuatu perkara itu. Akibatnya, terjadilah kejadian mencuri, melacur, samun dan peras ugut untuk mendapatkan wang yang tidak mereka perolehi daripada ibu bapa mereka.
Tekanan perasaan yang dialami remaja
Sesetengah remaja mengalami tekanan perasaan ketika di rumah akibat perceraian atau pergaduhan ibu bapa yang menyebabkan anak-anak merasa tidak selesa berada di rumah dan membuatkan mereka lebih suka berada di luar rumah dan bergaul dengan kawan-kawan tanpa menimbang baik buruknya.
Gagal dalam pelajaran
Remaja yang terkandas dalam pelajaran mempunyai masa lapang yang banyak. Oleh itu, mereka bergaul dengan rakan-rakan yang juga tidak bersekolah, dan bermula dari situlah mereka berkenalan dengan dadah, pil ecstasy, pusat-pusat hiburan dan lumba haram serta berjudi. Kegiatan tersebut memerlukan wang yang akan mendorong mereka melakukan kegiatan haram seperti mencuri samun, merompak dan menculik.
Peranan Media Massa
Remaja merupakan golongan yang mudah dipengaruhi, contohnya melalui filem-filem yang ditayangkan di televisyen. Mempunyai pengaruh yang amat besar kepada mereka. Filem dan drama yang dihasilkan mengikut filem Barat menggambarkan seolah-olah kehidupan rakyat negara ini dengan masyarakat Barat mempunyai persamaan. Ini menyebabkan remaja mudah terpengaruh kerana beranggapan bahawa gaya hidup remaja Barat yang lebih menjerumus kepada perlakuan liar dan tidak menghormati orang tua adalah tidak salah dari segi agama dan budaya Malaysia.
Perkembangan teknologi moden
Perkembangan teknologi moden seperti komputer, internet, e.mail dan video juga memudahkan remaja mendapat hiburan yang tidak sesuai dengan jiwa mereka. Mereka boleh memperolehi maklumat berhubung bahan-bahan lucah melalui internet, cakera padat dan video yang tidak ditapis di pasaran gelap atau melalui rakan-rakan.